arena

Siapa punya Jersi Kuning?

Oleh Haika Khazi

PELUMBA Russia yang mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, kekal sebagai pendahulu keseluruhan (jersi Kuning) dan Raja Bukit (Jersi Merah Polka Dot) biarpun beliau sekadar menduduki tempat ke-19 selepas tamat peringkat ketujuh perlumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) sejauh 222.4km dari Nilai, Negeri Sembilan ke Muar, Johor, sebentar tadi.

Ovechkin mengekalkan Jersi Kuning selepas mencatat masa keseluruhan 28:26.20s, selain mengumpulkan 40 mata untuk memenangi jersi Merah Polka Dot.

Bagaimanapun, kedudukan Ovechkin selaku pemenang Jersi Kuning edisi kali ini masih dicabar oleh pelumba Poland, Lukasz Owsian, yang mempunyai catatan masa keseluruhan 28:56:48s; diikuti pelumba Australia, Benjamin Dyball mewakili St. George Cycling Team 28:56:52s.

Dua pelumba Astana Pro Team (AST) iaitu Riccardo Minali (55 mata) dan Gidich Yevgeniy pula masing-masing masih menjadi pendahulu bagi merebut jersi Hijau (Raja Pecut) dan Putih selaku pelumba terbaik Asia.

Perlumbaan peringkat paling jauh hari ini dimenangi oleh pelumba Itali, Manuel Belleti, yang mewakili pasukan Androni Giocattoli-Sidermec (ANS) dengan catatan masa 5:08.23 saat (s), diikuti pelumba, Wilier Triestina-Selle Italia, Eugert Zhupa di tempat kedua dan Ruslan Tleubayev, dari Astana Pro Team ketiga.

Belleti muncul juara selepas berjaya melakukan henjutan di saat akhir di garisan penamat bersama 10 pelumba lain ketika menghampiri Tangkak dan kekal kira-kira seminit 35 saat di depan kumpulan pengejar.

“Malam tadi, pasukan ada berbincang dua kemungkinan iaitu perlumbaan berakhir dengan kelompok besar dan peloton berpecah kepada beberapa kumpulan. Kami juga mengkaji laluan di kilometer terakhir.

“Jadi saya dan rakan sepasukan Androni sentiasa peka sepanjang kayuhan dan cuba menempatkan diri dalam kelompok di depan. Walaupun ada lima pelumba Androni di depan, saya akui peringkat hari ini begitu sukar dan kompetitif.

“Kemenangan hari ini sungguh bermakna kerana kali terakhir saya menang ialah dua tahun lalu hingga menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menyertai Androni bagi musim perlumbaan tahun ini,” katanya.

Belletti yang pernah menyarung jersi AG2R dan Colnago-Inox serta mengumpul satu kemenangan peringkat di Giro d’Italia pada 2010 dalam kariernya berkata, dia akan cuba memburu satu lagi kemenangan peringkat esok.

“Saya berharap kemenangan hari ini akan menjadi permulaan yang baik bagi saya musim ini, dengan sasaran dapat berlumba dan menang di Giro lagi,” katanya.

Sementara itu, Ovechkin ketika ditemui, berkata dia mendapat bantuan rakan sepasukan TSG sepanjang perlumbaan itu dan suatu ketika terpaksa bertindak sendiri dalam kumpulan yang mengandungi pesaing terdekatnya.

“Seperti dijangka memang sukar tetapi semuanya okay kerana saya hanya perlu mengawasi beberapa pencabar terdekat saja,” katanya yang dibantu Metkel Eyob ketika berada dalam kumpulan pengejar pada peringkat itu.

Bagaimanapun, hanya 104 daripada 118 pelumba dijangka melakukan kayuhan peringkat terakhir LTdL 2018 dari Rembau dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok selepas 14 daripadanya dilaporkan sudah terkeluar.

Pemenang peringkat ke-7 LDdL 2018:

1. Manuel Belletti (Itali) – Androni Giocattoli-Sidermec 5 jam 08 minit 23 saat

2. Eugert Zhupa (Albania) – Wilier Triestina-Selle Italia 5’08:23s

3. Ruslan Tleubayev (Kazakhstan) – Astana Pro Team 5’08:23s

4. Dylan Page (Switzealand) – Pasukan Berbasikal Sapura (TSC) 5’08:23s

5. Jaco Venter (Russia) – Dimension Data 5’08:23s

6. Paolo Simion (Itali) – Bardiani-CSF 5’08:23s

7. Brendon Davids (RSA) – Bennelong Swisswellness Cycling Team 5’08:23s

8. Johann Van Zyl (Russia) – Dimension Data 5’08:23s

9. Lukasz Owsian (Polan) – CCC Sprandi Polkowice 5’08:25s

10. Giuseppe Fonzi (ITA) – Wilier Triestina-Selle Italia 5’08:28s

Perebutan Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan)

1. Artem Ovechkin (RUS) – Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) 28’56:20s

2. Lukasz Owsian (POL) 28’56:48s

3. Benjamin Dyball (AUS) - St. George Cycling Team 28’56:52s

Jersi Hijau (Raja Pecut):

1. Riccardo Minali (ITA) Astana Pro Team – 55 mata

2. Andrea Guardini (ITA) Bardiani-CSF – 46

3. Luca Pacioni (ITA) Wilier Triestina- Selle Italia – 35

Jersi Merah Polka Dot (Raja Bukit):

1. Artem Ovechkin (RUS) TSG – 40 mata

2. Bernardo Suaza Arango (COL) Manzana Postobon – 38

3. Alvaro Duarte (COL) FAR – 38

Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia):

1. Yevgeniy Gidich (KAZ) 28’57:22s

2. Bakhtiyar Kozhatayev (KAZ) 28’58:17s

3. Daniil Fominykh (KAZ) 28’58:17s

*Nota: Kesemua pelumba berkenaan mewakili Astana Pro Team

Tamat

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 10:03pm
d