arena

Kiki buat Venus berpeluh

Oleh AFP

MIAMI: Juara tiga kali Venus Williams menyelamatkan tiga mata penamat dalam kemenangan tiga set mengatasi Kiki Bertens hari ini seterusnya menempah tiket ke pusingan keempat berdepan juara bertahan, Johanna Konta pada tenis Terbuka Miami.

Williams, berkedudukan kelapan dunia, bertahan hampir tiga jam untuk menewaskan pemain kedudukan ke-29 itu dengan 5-7, 6-3, 7-5.

Pemain Amerika Syarikat berusia 37 tahun itu mendahului 5-0 pada set pembukaan tetapi melepaskan tiga mata penamat apabila Bertens menang tujuh perlawanan untuk mencipta kemenangan.

Set kedua juga menampilkan aksi sengit namun Williams berjaya mendahului 5-3 dan menyelamatkan mata untuk perlawanan seterusnya dan memaksa perlawanan penentuan.

Juara tujuh kali Grand Slam itu perlu bermain sebaik mungkin apabila dia ketinggalan 1-4 kepada lawan dari Belanda itu pada set ketiga.

“Ia kadangkala tidak nampak bagus, kerana itu anda perlu bermain sehingga mata terakhir,” kata Williams yang meraih gelaran di Miami pada 1998, 1999 dan 2001.

“Dan kerana itu saya sayangkan permainan ini.”

Konta, yang muncul juara tahun lalu dan membawanya ke kedudukan 10 terbaik dunia, mara dengan mudah mengetepikan pemain Belgium, Elise Mertens 6-2, 6-1.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 9:36am
d