arena

Kecederaan sekat hajat Thauvin

PARIS: Pemain tengah Marseille, Florian Thauvin diketepikan daripada skuad Perancis bagi aksi persahabatan menjelang Piala Dunia di Russia awal pagi Rabu ini selepas mengalami kecederaan hamstring, umum Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF).

Thauvin, yang hanya melakukan tiga penampilan bersama Perancis, menyerlah dalam liga Perancis musim ini selepas menjaringkan 16 gol dan menghasilkan 10 ‘assist’ buat kelab gergasi selatan Marseille setakat ini.

Namun harapan pemain berusia 25 tahun itu merebut tempat dalam skuad kendalian Didier Deschamps bagi kejohanan terulung pada musim panas ini masih tidak ketentuan.

Aksi persahabatan awal pagi Rabu ini di Saint Petersburg hadir empat hari selepas Colombia bangkit meraih kemenangan 3-2 ke atas Perancis di Stade de France dan ia menjadi aksi terakhir Les Bleus sebelum Deschamps mengumumkan skuad Piala Dunia pada 15 Mei depan.

Satu kenyataan FFF mengesahkan Thauvin “mengalami kecederaan hamstring”, dan dia tidak akan digantikan mana-mana pemain dalam skuad itu. - AFP

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 10:00pm
d