arena

'Kena ikut perlembagaan'

Oleh Zulfaizan Mansor

SEGALA keputusan untuk memilih Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu tetap bergantung sepenuhnya kepada undian ahli gabungan.

Perkara itu disuarakan Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad sambil menjelaskan kekosongan yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak boleh diisi sewenang-wenangnya.

Biarpun nama Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin dicalonkan sendiri oleh Tunku Ismail sebagai penggantinya, Redzuan menjelaskan ia tetap perlu melalui proses pemilihan seperti sebelum ini.

“Perlu ada pemilihan lain (untuk pilih presiden baharu), kena ikut perlembagaan. Sekarang ini Timbalan Presiden perlu memangku tugas Presiden.

“Pemilihan Presiden baharu tidak boleh dilakukan ikut suka hati. (Nama Hamidin) hanya cadangan Tunku Ismail. Kalau cadangan, siapa pun boleh cadang, tiada masalah.

“Apa pun, terpulang kepada ahli gabungan kerana mereka akan membuat pemilihan, itu bukan hak Presiden, itu hak ahli, kalau mereka nak mereka pilih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Tunku Ismail mencadangkan nama Hamidin sebagai individu paling layak menggantikan tempatnya selain turut mengesyorkan FAM melantik timbalannya, Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden.

Selain itu, Redzuan turut menjelaskan FAM memerlukan individu berwibawa untuk meneraju tampuk kepimpinan badan induk itu.

“Memang peletakan jawatan Tunku Ismail memberi impak besar kerana FAM memerlukan masa untuk kembali ke landasan yang baru.

“Jadi, Presiden FAM haruslah daripada individu berwibawa dan mampu mencari dana. Bola sepak tanpa wang sukar untuk bergerak dengan baik,” ujarnya.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 12:00am
d