arena

Bidaan Piala Dunia 2026 'adil, telus'

PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menegaskan proses bidaan tuan rumah Piala Dunia 2016 akan berlangsung ‘adil, objektif dan telus.’

Badan induk bola sepak berkenaan, hari ini mengesahkan menerima dua calon bagi menganjurkan acara berprestij berkenaan.

FIFA yang dijadual melakukan pemilihan ketika kongres tahunan di Moscow, Russia, Jun ini berkata dalam satu kenyataan ia menerima satu bidaan dari Maghribi dan bidaan penganjuran bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Dua bidaan itu akan dinilai oleh petugas khas yang akan melakukan lawatan ke semua negara calon tuan rumah, kata FIFA.

“Saya mencabar sesiapa saja untuk menunjukkan organisasi yang menjalankan proses bidaan secara adil, objektif dan telus seperti yang dilakukan FIFA untuk Piala Dunia 2026,” kata Infantino dalam satu kenyataan.

“FIFA sebelum ini dikritik teruk disebabkan bagaimana mereka memilih tuan rumah sebelum itu, dan ia adalah tanggungjawab kami untuk belajar daripadanya dan tidak meninggalkan sebarang ruang untuk keraguan atau boleh dipersoal.

“Ini sebabnya peraturan bagi proses ini... termasuk standard tertinggi dari sudut etika, penyertaan dan komitmen terhadap kemapanan dan hak asasi manusia.”

Proses bidaan Piala Dunia terdahulu, bagi 2018 dan 2022 secara berterusan dituduh dengan adanya pihak cuba mempengaruhi 22 undi anggota jawatankuasa eksekutif FIFA.

Kejohanan itu dianugerahkan kepada Russia dan Qatar dengan kelebihan satu undi pada Disember 2010.

Sekali pun beberapa siasatan dilakukan oleh FIFA, tiada sebarang bukti yang mengatakan mereka patut kehilangan hak penganjuran di sebalik beberapa cubaan untuk mempengaruhi undi pegawai. - Reuters

 

 

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 12:55am
d