arena

Venus singkir Johanna mara suku akhir

Oleh AFP

MIAMI: Juara tujuh kali grand slam dari Amerika Syarikat, Venus Williams berjaya membalas dendam ke atas juara bertahan Terbuka Miami, Johanna Konta untuk mara ke suku akhir, awal pagi tadi.

Dalam aksi ulangan separuh akhir tahun lalu yang dimenangi pemain wanita nombor satu Britain itu, Venus yang berusia 37 tahun mempamerkan aksi bertenaga untuk menang 5-7, 6-1, 6-2 dalam masa dua jam 19 minit.

Juara tiga kali Key Biscayne itu akan menentang Monica Puig atau rakan senegara, Danielle Collins.

Venus sendiri bagaikan tidak percaya dengan prestasinya itu.

“Saya tak nampak apa yang dilakukan pada usia 37 tahun ini. Johanna tidak dapat mencari rentak sekali gus membantu saya mencapai kemenangan tetapi bagi saya setiap perlawanan bukanlah mudah,” katanya.

Venus juga terpaksa mengharungi perlawanan panjang selama tiga jam kelmarin ketika menentang Kiki Bertens. Dia menyelamatkan tiga mata akhir sebelum mara ke peringkat keempat.

“Anda perlu berjuang untuk mendapatkan setiap mata. Semua pemain beraksi dengan baik dan saya perlu fokus,” katanya.

Sementara itu, Johanna akui kepenatan dalam perlawanan itu. Dia hanya melakukan satu pukulan mata kemenangan dalam set kedua dan terpaksa menerima rawatan akibat kecederaan belakang.

“Tubuh saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan ini memberi tekanan kepada fizikal saya. Bagaimanapun kecederaan itu tidak serius” kata Johanna.

Ranking Johanna yang sebelum ini di tangga ke-14 merosot ke tangga ke-22 dunia mengakui akur dengan kekentalan Venus.

“Anda perlu menghormati Venus walaupun sudah berusia tetapi masih bertenaga mengharungi permainan panjang.”

Turut mara ke suku akhir ialah rakan sepasukan Venus, Sloane Stephens yang membenam cabaran pemain nombor tiga dunia, Garbine Muguruza 6-3, 6-4.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 12:26pm
d