arena

F1 kurang ummph

Oleh Reuters

LONDON: Perlumbaan pembukaan Formula Satu di Australia kekurangan elemen penting iaitu memintas, dan ia memerlukan pembaikan memakan masa bertahun, kata Pengarah Urusan Sukan Permotoran, Ross Brawn hari ini.

Bekas bos pasukan Honda, Brawn GP dan Mercedes itu berkata selepas perlumbaan di Melbourne, bahawa aspek itu perlu dilakukan semula.

“Fikirkan berapa banyak kita pertaruhkan aksi antara jentera yang terlepas,” katanya.

“Perkara utama ialah, sehingga kita ubah pendekatan struktur terhadap masalah itu, kita tidak akan membuat apa-apa pembaharuan.

“Satu daripada sasaran kami, yang sedang kami lihat bersama (badan induk) FIA dan pasukan ialah, untuk 2021, kami mahu jentera dapat membawa pemandu untuk benar-benar bertarung di litar,” katanya.

Sukan berkenaan sedang bersedia untuk perubahan besar selepas 2020, apabila perjanjian komersil dan teknikal tamat tempoh.

Brawn yang memenangi beberapa kejuaraan bersama Benetton dan Ferrari selaku pengarah teknikal pada era dominasi Michael Schumacher, berkata FIA dan Formula Satu sedang menjalankan kajian aerodinamik menggunakan terowong angin dan dinamik komputer.

“Kami perlu mengubah evolusi rekaan jentera yang boleh hampir kepada tahap yang kita kini lihat, namun memberikan peluang aksi tayar ke tayar,” katanya.

Beberapa pemandu termasuk juara dunia empat kali Mercedes, Lewis Hamilton, merungut selepas perlumbaan Ahad lalu mengenai kesukaran untuk memintas kerana aerodinamik yang menyebabkan gegaran.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 12:54pm
d