arena

'Mahal sangat tu!'

Oleh Syafiq Aznan

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) disaran supaya mengkaji semula jumlah denda yang dikenakan ke atas pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan pada masa akan datang.

Meskipun mengakui hukuman denda itu wajar sebagai peringatan, namun bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah melihat denda seperti yang dikenakan ke atas 10 pasukan musim ini disifatkan terlalu tinggi.

“Hukuman denda memang perlu kerana pasukan sudah melakukan kesalahan namun pada pandangan saya, biarlah denda itu berpatutan. Kalau melihat denda yang dikenakan meskipun sudah diberi diskaun, RM500,000 dan RM200,000 itu satu jumlah yang tinggi.

“Walaupun denda itu dipotong menerusi geran tahunan namun kita harus faham, kadangkala geran tahunan yang diberikan pun tidak mencukupi untuk pasukan membiayai operasi dan pengurusan untuk sepanjang musim.

“Mengikut pandangan peribadi saya, cukuplah mengenakan denda setakat RM50,000. Kalau tetapkan denda RM100,000 pun, sebenarnya sudah cukup tinggi bagi saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menegaskan pihaknya tidak lagi akan berlembut dan bersedia mengenakan hukuman denda lebih tinggi berbanding musim ini.

“MFL bersedia mengenakan hukuman lebih berat dengan denda melebihi RM1 juta dilaksanakan sekiranya kesalahan yang sama berulang pada masa akan datang,” katanya semalam.

Pada masa sama, Kevin turut mengesahkan rayuan 10 pasukan yang didenda susulan kegagalan melengkapkan pendaftaran diterima atas dasar budi bicara dan nasihat Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan denda terbabit diberikan diskaun.

Empat pasukan Liga Super yang didenda RM1.5 juta sebelum ini hanya dikenakan denda sebanyak RM500,000 sementara denda RM500,000 yang dikenakan ke atas enam pasukan Liga Perdana dikurangkan kepada RM200,000.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 5:43pm
d