arena

Berapa sebenarnya sasaran?

Oleh Jumiati Rosly

SELEPAS Institut Sukan Negara (ISN) dan ketua kotinjen Huang Ying How berdolak-dalih, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar akhirnya mengumumkan sasaran pingat yang harus dibawa pulang oleh kontinjen negara dari Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Namun, Khairy jelas mengambil jalan selamat apabila mengumumkan sasaran berkenaan tanpa angka yang tepat serta perincian sukan dan atlet yang mampu memenanginya dari temasya yang dijadualkan bermula dari 4 hingga 15 April ini.

Bercakap selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke Sukan Komanwel Gold Coast di kementeriannya hari ini, Khairy berkata sasaran sebenar kontinjen negara adalah membaiki pencapaian di Glasgow iaitu melebihi enam emas.

“Sasaran di bawah Program Podium adalah ranking 10 terbaik keseluruhan. Bermaksud sasaran daripada segi pingat emas adalah mesti sekurang-kurangnya melebihi dari Glasgow iaitu melebihi enam emas,” katanya.

Khairy juga menjelaskan sasaran yang diletakkan itu adalah bagi atlet normal dan tidak mengambil kira pungutan sukan para.

“Biarpun pungutan pingat keseluruhan pada temasya kali ini akan mengambil kira sukan para, sasaran yang kita lakukan itu bagi sukan ‘able-body’ (normal) iaitu melebihi dari di Glasgow,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Program Podium, Tim Newenham dan Ying How enggan mendedahkan sasaran pingat yang mampu diraih kontinjen negara dengan memberi alasan bimbang menambah tekanan kepada atlet.

Alasan itu dianggap pelik dan sukar diterima ramai tatkala puluhan juta ringgit sudah dibelanjakan untuk melaksanakan Program Podium dengan sasaran menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu selain Sukan Asia dan Olimpik.

Bagaimanapun, Khairy mengakui pihaknya sudah membuat persiapan terbaik untuk menghadapi Sukan Komanwel kali ini.

“Bagaimanapun, mungkin disebabkan kemeriahan Sukan SEA tahun lalu, orang ingatkan kita tidak lakukan persiapan untuk Sukan Komanwel.

“Sebaliknya, Sukan Komanwel memang menjadi keutamaan kita, melebihi daripada Sukan SEA dan berada dalam tiga temasya teratas yang menjadi keutamaan kita selain Sukan Olimpik dan Sukan Asia untuk menjadi tanda aras pencapaian negara,” kata Khairy.

Secara keseluruhan, 178 atlet termasuk atlet para negara akan menggalas cabaran di Gold Coast.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 6:50pm
d