arena

'Lomu Malaysia' yakin aksi KRM

Oleh Haika Khazi

SKUAD ragbi tujuh sebelah negara mampu mencipta kejutan pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, awal bulan depan, kata pemain profesional K Dineshwaran.

Dineshwaran, yang beraksi dengan kelab ternama Jepun, Yamaha Jubilo percaya pasukan negara mampu memberi saingan sengit kepada pasukan terkuat seperti New Zealand, Australia, Fiji dan Afrika Selatan andai kata mereka tidak terlalu menghormati dan memandang tinggi lawan.

Dineshwaran, 29, yang dikenali sebagai Dugro atau Duke Krishnan, juga melihat skuad ragbi 7s negara kini berada di tahap terbaik selepas memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya nampak selepas KL2017 pemain nampak lebih bersemangat dan mampu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan di Gold Coast biarpun gagal menang pingat emas.

“Jadi nasihat saya kepada semua pemain jangan terlalu memikirkan atau memandang tinggi status lawan. Jangan tetapkan mentaliti kita tidak boleh tewaskan contohnya Afrika Selatan kerana apa yang mereka perlu lakukan cuma masuk ke padang, bermain dengan baik dan magis akan berlaku.

“Saya percaya jika skuad kebangsaan mampu mempamerkan aksi lebih cemerlang berbanding Sukan Komanwel Glasgow 2014 maka ia akan membuka mata penaja untuk tampil memberi sokongan kepada sukan ragbi di negara ini,” katanya ketika ditemui sebelum kembali ke Jepun.

Bekas bintang Cobra yang bermain di posisi ‘lock’ itu menyertai Jubilo pada 2013.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 9:04pm
d