arena

Nike 'sukarkan' Three Lions

Oleh Reuters

LONDON: England hanya berpeluang menguji bola rasmi Piala Dunia 2018 bagi satu daripada tiga baki perlawanan pemanas badan menjelang aksi di Russia berikutan komitmen Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dengan Nike, lapor akhbar Inggeris, hari ini.

Beberapa negara bertanding, termasuk Jerman dan Sepanyol sudah mengharungi perlawanan persahabatan menggunakan bola Adidas Telstar yang akan digunakan pada kejohanan itu.

Begitupun, skuad England kendalian Gareth Southgate akan menggunakan bola Nike Ordem V bagi aksi persahabatan menentang Itali di Wembley, awal pagi ini sebagai sebahagian daripada kontrak FA dengan syarikat berkenaan.

Syarikat gergasi kelengkapan sukan dari Amerika Syarikat itu dan FA mempunyai perjanjian hingga 2030.

Akhbar The Times menyatakan bola Ordem V turut akan digunakan bagi aksi pemanas badan England seterusnya menentang Nigeria pada 2 Jun tetapi Nike membenarkan FA untuk menguji bola Adidas bagi perlawanan persahabatan terakhir menentang Costa Rica pada 7 Jun depan.

Ia menjadi satu-satunya peluang buat pemain England beraksi menggunakan bola rasmi Piala Dunia sebelum mengharungi perlawanan pembukaan peringkat kumpulan menentang Tunisia di Volgograd pada 18 Jun depan.

Bagi mengelak ia menjadi kekurangan pasukannya, Southgate memberikan pemainnya sebanyak mungkin pendedahan menggunakan bola Adidas ketika latihan.

Perbezaan antara bola sering memberi impak besar terhadap penjaga gol, yang memerlukan masa untuk mengadaptasi apungan dan lantunannya.

Penjaga gol Sepanyol, David de Gea sudah pun mengkritik bola Piala Dunia susulan keputusan seri 1-1 dengan Jerman, minggu lalu dengan berkata ia sukar untuk dicengkam kerana disalut dengan pelindung plastik.

Selain Tunisia, England turut diundi satu kumpulan dengan Panama dan Belgium dalam Kumpulan G.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 10:50pm
d