arena

Ukraine benam Jepun

Oleh Reuters

LIEGE, Belgium: Gergasi Asia, Jepun tampak perlu berusaha lebih keras menjelang saingan Piala Dunia di Russia apabila dikalahkan Ukraine 1-2 pada aksi persahabatan, semalam.

Gol kemenangan Ukraine hadir menerusi Oleksandr Karavaev pada minit ke-69 yang bijak menyelinap ke kawasan penalti Jepun sebelum menyambut hantaran Yevhen Konoplyanka bagi mengesahkan kemenangan.

Ukraine terlepas aksi Piala Dunia yang berlangsung di negara jiran mereka, Russia selepas gagal melayakkan diri.

Selepas mendahului menerusi rembatan jarak jauh Yaroslav Rakitskiy pada minit ke-21, Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Tomoaki Makino pada minit ke-41 berpunca daripada sepakan percuma.

Jepun menggunakan stadium kelab Standard Liege sebagai pangkalan pasukan bagi dua perlawanan pemanas badan dan pada aksi pertama, minggu lalu, mereka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Mali.

Jepun dijadual bertemu Colombia bagi aksi pembukaan Piala Dunia di Saransk pada 19 Jun sebelum melawan Senegal dan Poland dalam aksi Kumpulan H.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 1:01am
d