arena

Nafiizwan tak tertekan

Oleh Mohd Khairie Khalid

 

PEMAIN skuasy negara, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan tidak rasa tertekan meskipun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencabar semua atlet Program Podium untuk meraih pingat di temasya Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 15 April ini.

Pemain utama negara itu berkata, jika cabaran dilontarkan Khairy dianggap sebagai satu tekanan bermakna tidak apa yang mampu dilakukan ketika temasya berkenaan yang kini hanya berbaki tujuh hari saja lagi.

“Kalau anggap ia sebagai tekanan, kamu tidak boleh berbuat apa-apa, jadi saya jadikan ia sebagai satu cabaran,” kata Nafiizwan pada sidang media persediaan atlet Program Podium ke Sukan Komanwel yang berlangsung di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

“Kalau dijadikan cabaran, kita boleh menjadi lebih santai, bukan bermaksud rileks tetapi jika melakukan yang terbaik kita boleh membuatkan Malaysia bangga. Sudah tentu saya ingin membawa pulang pingat, saya sasarkan dapat mara ke separuh akhir dan dari situ saya akan lalui cabaran sedikit demi sedikit, saya akan buat yang terbaik. Pemain muda turut berpeluang untuk menghadiahkan pingat.”

Semalam media melaporkan Khairy mencabar semua atlet di bawah Program Podium untuk meraih pingat ketika beraksi di Gold Coast kerana persiapan dan persediaan sudah diberikan dan kini atlet-atlet terbabit perlu membuktikan dengan pencapaian pingat.

Mengulas lanjut, Nafiizwan yang akan beraksi dalam acara perseorangan berkata pencabar utama bakal menantinya di Komanwel adalah bintang nombor satu dunia yang juga pilihan utama temasya dari England, Nick Matthew. Atlet ini yang akan bergandingan bersama Ivan Yuen juga sedar bakal berdepan saingan hebat dari Australia menerusi Cameron Pilley dan Ryan Cuskelly dalam acara beregu lelaki.

“Dalam pasukan insya-Allah kita berada selaku pilihan kelapan dan saya rasa kita mampu pergi lebih jauh. Bagi saya acara beregu lebih berpeluang untuk mendapatkan pingat termasuklah pemain muda kerana saya lihat mereka semakin menunjukkan peningkatan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Peter Genever berkata dia meletakkan sasaran untuk untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat pada temasya kedua terbesar dunia itu nanti.

Genever menjelaskan betapa dia berharap ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David mampu memberikan sesuatu buat Malaysia selain pingat dalam mana-mana acara kerana baginya saingan di Sukan Komanwel adalah kuat.

Pada temasya sama di Glasgow, Scotland pada tahun 2014, Nicol meraih pingat emas menerusi acara perseorangan wanita manakala dalam acara perseorangan lelaki, emas dimenangi Matthew.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 5:00pm
d