arena

Tindakan penyudah jadi penentu: Dhaarma

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak mahu barisan pemainnya mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan.

Meskipun mengakui Malaysian Tigress tampil dengan watak lebih meyakinkan pada temasya kali ini, Dhaarma masih gusar dengan kegagalan pemainnya untuk menyempurnakan peluang yang terhidang seperti yang dilalui dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Terus terang saya beritahu pasukan ini memang sudah meningkat prestasi mereka,” kata Dhaarma yang menganggap faktor penyudah membezakan skuad negara dengan pasukan-pasukan lain.

“Tapi masalah utama adalah mereka tak dapat jaringkan gol apabila memperoleh peluang itu. Ia jauh berbeza berbanding pasukan lelaki yang dapat menyempurnakan peluang dengan baik menerusi jaringan padang atau pukulan sudut penalti.

“Jadi sukar untuk saya memberitahu sejauhmana lagi pasukan ini boleh pergi. Kadangkala pada hari yang mereka mampu menjaringkan gol, maka ketika itulah kita dapat keputusan yang baik.

“Sebab itu saya harap pada saingan kali ini pemain perlu memanfaatkan setiap peluang untuk jaringkan gol. Jika tidak, kita akan berdepan masalah kerana pasukan lain jelas lebih baik.”

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama England, India, Afrika Selatan dan Wales.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 6:58pm
d