arena

TRW gugur lima pemain

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terpaksa menamatkan kontrak lima pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama selain menilai semula barisan pemain sedia ada sebelum pintu perpindahan pemain dibuka, Mei ini.

Semua pemain berkenaan mencapai kata sepakat dengan KAFA untuk ditamatkan kontrak lebih awal, selepas beberapa kali diberi amaran bertulis supaya meningkatkan prestasi masing-masing.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khan berkata pihaknya terpaksa melepaskan pemain berkenaan bagi membolehkan mereka mendapat peluang beraksi bersama pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), selain membantu mengurangkan beban kewangan persatuan.

"Kita terpaksa melakukan tindakan itu dan pemain perlu memahami pihak pengurusan dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan dan mengurangkan bebanan kewangan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ramjani berkata keputusan menamatkan kontrak pemain terbabit dibuat selepas mendapat pandangan dan penilaian ketua jurulatih baharu, Fajr Ibrahim, yang dilantik minggu lalu dan diberi kuasa sepenuhnya membentuk semula TRW bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super musim ini.

Fajr, yang juga Pengarah Teknikal KAFA, dibantu oleh Yusri Che Lah.

Antara pemain lima pemain berkenaan ialah pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga; bekas pemain PKNP FC, Sukri Abd Hamid dan pemain keturunan Siam, Kedah, Hattaphon Bun An.

Untuk rekod, KAFA memecat jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh, selepas tiga perlawanan awal Liga Super kerana gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan tanggungjawab itu dipangku oleh Yusri dalam dua perlawanan seterusnya.

Selepas lima perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan menduduki tangga kedua tercorot dengan memperoleh empat mata, hasil satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan, selain gagal ke suku akhir Piala FA. - BERNAMA

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 12:38am
d