arena

Tuah di Orleans Masters

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN beregu lelaki negara, Chen Tang Jie tidak mahu berasa selesa walaupun dua kali memperoleh tuah tidak perlu turun ke gelanggang di Orleans Masters sehingga membolehkannya bersama Hoo Pang Ron mara sehingga ke pusingan kedua.

Sebelum ini mengikut jadual asal, mereka perlu melalui pusingan kelayakan terlebih dulu untuk ke undian utama, namun disebabkan ramai beregu menarik diri dalam saingan berkenaan tuah memihak mereka.

Semalam, mereka sekali lagi berdepan perkara yang sama apabila pilihan utama dari India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy menarik diri.

"Hari ini sekali lagi kami mendapat tuah tidak perlu turun ke gelanggang. Saya tidak tahu punca utama mereka menarik diri ataupun mungkin mereka tidak datang ke kejohanan ini," kata Tang Jie yang turut beraksi dalam acara beregu campuran bersama Peck Yen Wei.

Jelasnya, walaupun mendapat dua peluang keemasan ini, dia tidak merasakan ia satu kelebihan buat mereka berbanding pasangan lain.

"Bagi saya sama saja walaupun mendapat peluang seperti ini dan fokus saya masih lagi kepada saingan beregu campuran," kata Tang Jie.

 Tang Jie-Pang Ron akan berdepan Sabar Karyaman Gutama-Frengky Wijaya Putra (Indonesia) yang sebelum itu mengalahkan wakil Algeria, Mohamed Abderrahime Belarbi-Adel Hamek 21-13, 21-9.

Dalam pada itu beregu wanita negara, Cheah Yee See-Yen Wei juga tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan gandingan Perancis, Verlaine Faulmann-Margot Lambert 21-9, 21-7.

Pemain perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying juga tidak berdepan masalah untuk mengorak langkah selepas menumpaskan Kate Foo Kune dari Mauritius 21-5, 21-9.

Ying Ying yang juga pilihan kelima akan menentang rakan senegara, S Kisona di pusingan kedua.

Kisona terpaksa berhempas-pulas untuk membenam cabaran wakil Indonesia, Devi Yunita Indah Sari sebelum dia mencatat kemenangan 21-18, 20-22, 21-13.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 12:53am
d