arena

Venus 'gigit jari'

MIAMI: Danielle Collins mempamerkan prestasi menakjubkan dengan melakukan kejutan ke atas Venus Williams 6-2, 6-3 untuk mara ke separuh akhir Terbuka Miami WTA, pagi tadi.

Kejayaan pemain kelayakan berusia 24 tahun cukup mengkagumkan kerana ini adalah musim keduanya sebagai pemain profesional dan penyertaan sulungnya di Key Biscayne.

Kemenangan itu juga adalah yang pertama Danielle ke atas pemain ranking 10 teratas malahan Venus, pemain nombor lapan dunia mengakui lawannya itu memang berhak menang dan akan menentang Jelena Ostapenko dalam aksi separuh akhir.

"Ini bukanlah aksi terbaik terbaik saya tetapi dia bermain sangat baik dan agresif,” kata Venus.

Danielle pula sangat gembira mengatasi pemain yang menjadi idolanya.

"Kali pertama saya melihatnya di bilik persalinan, saya hampir menangis. Venus pemain kegemaran saya. Kini bagaikan mimpi dapat menewaskannya.”

Sementara itu, juara bertahan Terbuka Perancis, Jelena mengatasi pilihan keempat dari Ukraine, Elina Svitolina. Jelena nyata terlalu kuat buat Svitolina pada saingan 16 pemain terakhir Wimbledon tahun lalu dan ia seakan sama di gelanggang keras Miami ketika pemain pilihan keenam dari Latvia itu mara dengan kemenangan 7-6 (7/3) 7-6 (7/5).

Jelena , 20, tersingkir pada pusingan pertama di Key Biscayne tahun lalu namun melalui musim yang hebat sejak itu, menang gelaran pertama Grand Slam di Paris dan bergerak dari kedudukan ke-64 ke tangga kelima dunia.

“Saya tahu saya perlu menjadi agresif dan apabila saya ada peluang, saya benar-benar melakukannya,” kata Jelena.

“Saya datang ke sini tanpa apa-apa jangkaan, sama ada ia perlawanan pertama atau final, saya buat yang terbaik.”

Berdepan tekanan menjadi juara Grand Slam pada usia muda menjadi sesuatu yang tidak diambil mudah Ostapenko.

“Mempertahankan gelaran saya akan menjadi sesuatu yang istimewa dan saya tidak sabar untuk kembali ke Paris,” katanya.

“Perkara terbaik selepas kemenangan besar seperti itu ialah orang akan melayan melayan anda dengan baik dan pada sebahagian kejohanan, anda akan dapat ‘bye’ jadi ia sedikit memudahkan.

“Ia juga boleh jadi negatif kerana jika anda tersingkir awal, anda tidak bermain banyak. Saya berkedudukan 10 terbaik, jadi semua orang mahu kalahkan saya.” - AFP

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 11:06am
d