arena

Hafiz sambung cuti

Oleh Rodly Fadly

PEMAIN tengah Perak, Hafiz Kamal terpaksa melupakan hasratnya untuk kembali beraksi bulan depan apabila doktor mengesahkan dia perlu berehat selama tiga bulan lagi kerana kecederaan lutut kiri dialami belum pulih sepenuhnya.

Hafiz yang pada awalnya dijangka dapat bermain semula pada April kini terpaksa menunggu sehingga Julai untuk merasai aksi pertama musim ini selepas berehat sejak menjalani pembedahan November lalu.

“Proses pemulihan saya agak perlahan kerana sepanjang tempoh dua bulan pertama selepas pembedahan, doktor menasihati saya supaya berehat sepenuhnya tanpa melakukan sebarang aktiviti. Malah, doktor mengarahkan saya supaya menggunakan tongkat semasa berjalan bagi memastikan kaki saya tidak memijak lantai kerana sebarang bebanan ke atas lutut yang dibedah boleh melambatkan lagi proses pemulihan.

“Saya hanya mula menjalani latihan ringan serta memulihkan kecergasan pada Februari lalu. Saya jangka dapat beraksi semula apbila liga yang berehat sekarang bersambung bulan depan tapi pemeriksaan baru-baru ini mengesahkan kecederaan saya belum pulih sepenuhnya.

“Kini, jangkaan terbaru doktor adalah pada Julai. Ia agak mengecewakan tapi apa nak buat, saya terpaksa akur dengan nasihat doktor,” katanya.

Hafiz mengalami koyakan pada tisu lutut dan putus urat semasa menjalani latihan untuk menghadapi Pahang pada suku akhir pertama Piala Malaysia pada akhir September, musim lalu.

Ia adalah kecederaan paling serius pernah dialami pemain itu sepanjang kariernya bersama Pahang, Selangor dan kini Perak.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 1:13pm
d