arena

Elak jadi pasukan belasahan

Oleh Fadhli Ishak

SAINGAN acara ragbi tujuh sebelah di Sukan Komanwel sentiasa memberikan cabaran sukar dan temasya kedua terbesar dunia itu di Gold Coast, Australia bulan depan bakal menguji kemampuan skuad negara supaya tidak lagi menjadi pasukan belasahan.

Skuad kendalian Saizul Hafifi Md Noor bakal berdepan kuasa besar Afrika Selatan dan Scotland - yang belum pernah ditemui sebelum ini - serta Papua New Guinea dalam saingan Kumpulan A.

Ragbi Malaysia (MR) sedar tugasan berat yang menanti mereka dan tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi pada saingan yang akan berlangsung di Stadium Robina dari 13 hingga 15 April itu.

Sekali lagi, Papua New Guinea menjadi sasaran utama untuk mengutip mata di peringkat kumpulan tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Malaysia belum pernah menewaskan Papua New Guinea dalam tiga pertemuan di Sukan Komanwel sebelum ini dan sebarang peluang untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 12 terbaik bergantung kepada perlawanan di peringkat kumpulan.

Dalam usaha memantapkan lagi pasukan, MR membawa masuk bekas kapten skuad tujuh sebelah New Zealand, DJ Forbes bagi membantu persiapan skuad negara minggu ini.

Setiausaha Kehormat MR, Jamaluddin Salim bagaimanapun menegaskan saingan di Gold Coast antara persiapan pasukan untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Skuad negara tewas semua perlawanan dan menamatkan saingan di tangga tercorot ketika Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.

“Sukan Komanwel adalah pertandingan peringkat tinggi kerana majoriti negara yang menjadi kuasa besar ragbi bertanding,” kata Jamaluddin.

“Sasaran utama kami tahun ini adalah memenangi pingat buat pertama kali di Sukan Asia. Sukan Komanwel akan membantu kami membuat persiapan bagi temasya itu dan bermain menentang pasukan terbaik dunia akan memberi pengalaman terbaik buat pemain.

“Tidak realistik untuk meletakkan harapan terlalu tinggi kepada pasukan, kami cukup gembira jika dapat memenangi satu perlawanan di peringkat kumpulan.”

Saizul mempertaruhkan skuad muda tetapi berpengalaman untuk temasya di Gold Coast dengan kebanyakan pemain daripada skuad emas Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Kapten Zulkifli Azmi, Siddiq Amir Jalil, Wan Izzuddin Ismail, Ameer Nasrun Zulkeffli, Mohamad Safwan Abdullah dan Zhariff Affandi Mohamed Zahib dijangka memperkuatkan pasukan di Gold Coast nanti.

INFO:

Ragbi 7 sebelah

Tarikh: 13-15 April

Venue: Stadium Robina

Sasaran: 12 terbaik daripada 16 pasukan

Jurulatih: Saizul Hafifi Md Noor

Penolong jurulatih: Nazeer Nesharah

Skuad: Zulkiflee Azmi, Muhammad Siddiq Amir Jalil, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Wan Izzuddin Ismail, Mohamad Safwan Abdullah, Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain, Muhamad Firdaus Tarmizi, Muhammad Ameer Nasrun Zulkeffli, Mohamad Khairul Abdillah Ramli, Muhammad Zulhisham Rasli, Muhammad Zharif Affandi Mohamed Zahib, Muhammad Nasharuddin Ismail.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:49pm
d