arena

'Ini bukan masa yang sesuai'

Oleh Syafiq Aznan

“TUNGGULAH hari Isnin nanti,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Itu reaksi ringkas yang dilontarkan Hamidin apabila diminta mengulas mengenai pencalonannya selaku Presiden FAM yang baharu bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sah melepaskan jawatannya, Ahad lalu.

Pada masa sama, dia turut menegaskan ini bukan masa yang sesuai untuk dia mengeluarkan sebarang kenyataan dengan sebarang makluman hanya akan diberikan selepas selesai Mesyuarat EXCO yang akan berlangsung di Wisma FAM, Isnin ini.

“Buat masa ini, Tunku Ismail masih lagi Presiden FAM jadi saya rasa tidak elok untuk saya mengulas mengenai pencalonan itu. Kita tunggu hari Isnin nanti.

“Sama ada peletakan jawatan Tunku Ismail diterima ataupun ditolak, kita tunggu bagaimana keputusan dalam Mesyuarat EXCO nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM, Ahad lalu, Tunku Ismail yang juga adalah Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat kejutan apabila mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.

Walaupun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak, tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan FAM.

Namun, Hamidin dilihat memiliki peluang cerah untuk mencipta sejarah muncul individu pertama yang bukan daripada golongan kerabat diraja atau ahli politik menerajui badan induk itu selepas mendapat sokongan beberapa individu dan juga persatuan.

Antara yang memberikan sokongan kepada Hamidin selaku Presiden FAM adalah bekas Bekas Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ; Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) dan juga Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:53pm
d