arena

Harap presiden baru teruskan kerjasama

Oleh Syafiq Aznan

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat meneruskan kerjasama dan mengekalkan hubungan baik dengan badan induk bola sepak Asia itu meskipun berlaku perubahan dalam tampuk kepimpinannya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata, sudah menjadi tanggungjawab badan induk itu bagi memastikan setiap ahli gabungannya sentiasa memiliki hubungan baik antara satu sama lain.

“Presiden FAM akan ditentukan oleh ahli gabungan namun sesiapa pun yang akan dipilih nanti, AFC mengharapkan presiden baharu itu dapat terus bekerjasama dengan baik bersama kami demi memajukan bola sepak di Asia.

“Apa sahaja perubahan yang dilakukan selepas ini, kesinambungan yang sudah terjalin antara AFC dan FAM seharusnya diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM Ahad lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat kejutan apabila mencadangkan nama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.

Selain menyifatkan Hamidin sebagai calon paling layak, Tunku Ismail juga mengesyorkan Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.

Biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, namun keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 5:05pm
d