arena

Moura yakin atasi Chelsea

Oleh Reuters

LONDON: Persembahan menakjubkan Tottenham Hotspur ketika bertemu lawan lebih ternama musim ini memberi sinar buat pasukan itu untuk meraih kemenangan ke atas Chelsea Ahad ini, menurut pemain sayap Lucas Moura.

Tottenham tidak pernah menewaskan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge sejak 1990 yang menyaksikan Gary Lineker menyumbat gol kemenangan 2-1.

Anak buah Mauricio Pochettino mahu menamatkan rekod buruk ke atas jiran tetangganya itu dan Lucas percaya kemenangan ke atas seteru lain serta aksi memberangsangkan ketika bertemu Juventus di Liga Juara-Juara meningkatkan lagi keyakinan mereka.

“Kami beraksi begitu baik tahun ini. Kami memperagakan persembahan hebat ketika bertemu Manchester United, Arsenal dan Juventus.

“Saya begitu yakin kami akan dapat meneruskan prestasi ini ketika bertemu Chelsea,” kata Moura menerusi laman web pasukan itu.

“Ini perlawanan besar dan saya tidak sabar menantikannya. Saya begitu teruja dan berharap saya diberi peluang untuk beraksi kerana saya percaya kami mampu menang.”

Pemain sayap Brazil itu menyertai Spurs dari kelab Perancis, Paris St-Germain pada jendela perpindahan Januari lalu dengan bayaran sekitar £25 juta (RM130 juta).

Pemain berusia 25 tahun itu tampil enam kali bersama pasukan baharunya setakat ini dan mencetak satu gol serta tiga hantaran gol.

Aksi bertemu Chelsea mungkin menjadi cabaran terbesarnya setakat ini dan dia mahu mencipta sesuatu pada perlawanan itu.

“Saya sentiasa menantikan aksi sebegini. Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik di dunia dan saya gembira berada di sini.”

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 6:32pm
d