arena

Penanda aras Sivasangari, Eain Yow 

Oleh Mohd Khairie Khalid

DUA pemain skuasy negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow masing-masing sudah meletakkan penanda aras buat diri sendiri tatkala Sukan Komanwel Gold Coast hanya berbaki enam hari saja lagi.

Sivasangari dan Eain Yow akan beraksi dalam acara perseorangan wanita dan lelaki serta beregu bersama pasangan masing-masing Rachel Arnold dan Syafiq Kamal.

Dia berkata, pengalaman beraksi pada kejohanan di Amerika Syarikat baru-baru ini menjadi pendedahan berguna buatnya sebelum beraksi di Gold Coast.

Sivasangari juga mendapat tonik terbaik menerusi motivasi daripada bekas pemain nombor satu dunia yang juga rakan senegara Datuk Nicol David.

“Saya rasa Sukan Komanwel agak sukar buat saya dalam acara perseorangan kerana ramai pemain terkemuka dan berpengalaman tampil beraksi berbanding saya.

“Tapi apa pun boleh berlaku kerana saya giat menjalani latihan. Saya menyertai kejohanan di AS Februari lalu dan ia menjadi pendedahan serta pengalaman buat saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Sivasangari menjelaskan dalam acara perseorangan dia hanya berharap mampu melakukan yang terbaik kerana ia aksi sulungnya pada Sukan Komanwel.

Bagi acara beregu wanita pula, pemain yang akan bergandingan dengan Rachel menegaskan apa-apa saja boleh terjadi ketika temasya berlangsung, sekali gus percaya mereka mampu meraih pingat.

Sementara itu, bagi pemain lelaki negara, Eain Yow dia yakin mampu mara ke suku akhir di Gold Coast.

“Saya rasa ada peluang baik untuk layak ke suku akhir. Jika mampu mara ke peringkat lapan terbaik, saya akan bertemu dengan pemain Scotland yang lebih tinggi rankingnya daripada saya tapi saya rasa ada peluang.”

Di Glasgow empat tahun lalu, Malaysia meraih pingat emas perseorangan wanita menerusi Nicol.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 12:33am
d