arena

Pobga buka mata Mourinho

Oleh AFP

MANCHESTER: Hubungan dingin Jose Mourinho dengan pemain termahal Manchester United, Paul Pogba sekali lagi menjadi tumpuan apabila aksi Liga Perdana Inggeris kembali bersambung selepas tamat perlawanan antarabangsa.

Skuad Mourinho yang tidak beraksi dua minggu sejak menang perlawanan suku akhir Piala FA menentang Brighton akan menentang pasukan bawahan, Swansea esok dan pengurus United itu belum pasti menurunkan Pogba dalam kesebelasan utama.

Pogba tersisih dalam tiga perlawanan sebelum ini termasuk aksi suku akhir Piala FA, menentang Sevilla dalam Liga Juara-Juara dan aksi liga menentang musuh tradisi, Liverpool.

Prestasi pemain berusia 25 tahun itu tidak konsisten selepas sukar menyesuaikan diri dengan sistem yang diterapkan pengurus dari Portugal itu.

Bagaimanapun, prestasi cemerlang Pogba ketika Perancis menang ke atas Russia 3-1 dalam aksi pemanas badan Piala Dunia boleh membuka mata Mourinho untuk menyenaraikannya semula dalam kesebelasan menentang Swansea apatah lagi selepas pemain muda Scotland, Scott McTominay yang mengambil alih posisi pemain itu dalam tiga perlawanan sebelum ini mengalami kecederaan betis selepas tamat tugasan antarabangsa.

Kemenangan di Russia dibantu salah satunya sepakan percuma menarik Pogba, jaringan pertama pemain itu sejak kali terakhir melakukannya ketika United menewaskan Newcaste dalam aksi liga pada pertengahan November lalu.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 11:16am
d