arena

Zverev tunjuk Coric jalan pulang

Oleh AFP

MIAMI: Pemain pilihan keempat, Alexander Zverev menewaskan Borna Coric 6-4, 6-4 pagi tadi dan akan menentang pilihan ke-16, Pablo Carreno Busta dalam aksi separuh akhir Terbuka Miami.

Carreno Busta menewaskan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson 6-4, 5-7, 7-6(6) dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pemain pilihan kelima dari Argentina, Juan Martin del Potro akan menentang pilihan ke-14 dari Amerika Syarikat, John Isner dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Zverev enggan menyalahkan masalah kuasa punca permulaan lembab di awal permainan.

"Saya tak peduli itu. Saya fikir saya hilang enam mata. Itu bukanlah permulaan bagus dan gembira dapat mara,” katanya.

Carreno Busta pula yang semakin menyerlah meraih kemenangan pertama daripada lima perlawanan ke atas Anderson sekaligus membalas dendam terhadap pemain kelapan dunia itu selepas tewas pada pusingan keempat India Wells.

"Perlawanan menentangnya sangat sengit. Saya tewas kepadanya 7-6 di set ketiga (Indian Wells) dan hari ini saya beraksi agresif, semuanya menjadi seperti yang dirancang,” katanya.

Anderson menyelamatkan beberapa mata akhir pada set kedua dan meningkatkan momentum tetapi pilihan ke-16, Carreno Busta kembali bangkit di set penentuan sehingga mengheret perlawanan ke tiebreak sebelum menang dalam masa dua jam 42 minit.

Anderson yang menjuarai Terbuka New York dan naib juara ATP di Acapulco dan Pune tewas kesemua 10 aksi suku akhir peringkat Masters 1000, kejohanan kedua tertinggi selepas empat grand slam.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 12:22pm
d