arena

'Sehari tidur tiga jam sahaja'

Oleh Attirmidzie Rahman

“SAYA hanya tidur tiga hingga empat jam sehari, selebihnya masa saya bekerja untuk pasukan Kelantan.”

Itu pengakuan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengenai usahanya dalam mengembalikan semula kegemilangan The Red Warriors (TRW).

Jika diimbas, sudah banyak perubahan berlaku terhadap TRW sejak usahawan wanita berusia 46 tahun itu mengambil alih tampuk kepimpinan badan induk itu, September lalu.

Bibi Ramjani berkata, beliau sudah membuat pembaharuan terhadap pasukan dengan mengambil kira daripada pucuk pimpinan pengurusan sehingga ke akar umbi bagi memastikan perubahan terhadap masa depan bola sepak negeri itu.

Katanya, kini apa yang dituntut pihaknya hanya sokongan padu daripada penyokong serta usaha keras setiap pemain bermula pasukan belia hingga skuad Liga Super bagi menempa kejayaan musim ini.

“Saya nak semua pemain tahu, saya sendiri sudah berkorban segala-galanya untuk pasukan bermula dengan menyelesaikan beberapa masalah sehingga melunaskan hutang lama pemain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, penstrukturan semula bola sepak di peringkat daerah juga dilakukan dan dana kepada Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) sudah diagihkan bagi memastikan kerja di peringkat akar umbi berjalan.

“Dan kini usaha itu diteruskan lagi dengan memastikan tiada sebarang masalah berlaku dalam pasukan termasuk memastikan tiada tunggakan gaji terhadap pemain kerana bagi saya tanggungjawab majikan kepada pekerja amat penting.

“Namun, pekerja (pemain) perlulah menunjukkan usaha bersungguh-sungguh dan tunjuk perubahan sikap ke arah menuju kejayaan kepada pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 9:50pm
d