arena

Beasley yakin Shah Firdaus menyerlah

Oleh Azlan Muhammad Zain

 

KETUA jurulatih negara, John Beasley menaruh kepercayaan kepada Shah Firdaus Sahrom untuk mempamerkan persembahan positif selepas Azizulhasni Awang tidak berada pada tahap terbaik ke Sukan Komanwel, bulan depan.

   

Atlet yang digelar The Pocket Rocketman ini masih belum pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus ketika menyertai Kejohanan Trek Dunia di Belanda pada awal bulan ini.

   

Bagaimanapun Shah Firdaus yang turut berdepan situasi sama di Belanda itu, sudah pulih dan berada pada tahap terbaik bagi menghadapi temasya di Gold Coast yang bermula 4 April ini.

   

"Dia sudah pulih sepenuhnya dengan keadaannya turut kembali seperti sebelum ini. Jadi, saya mengharapkan dia beraksi cemerlang di Gold Coast nanti agar tekanan ke atas Azizulhasni berkurangan.

   

"Saya yakin Shah Firdaus akan menyerlah. Dia adalah pelumba berkelas dunia kerana pernah menaiki podium di siri Piala Dunia. Saya yakin dia akan melaksanakan tugas dengan baik di Gold Coast," kata Beasley.

   

Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, Shah Firdaus bakal menjadi pelumba yang kurang dikenali di Sukan Komanwel dan ia adalah sesuatu yang bagus kepada dirinya.

   

"Ia situasi yang bagus kerana dia tidak akan menjadi perhatian pelumba handalan lain. Saya percaya dia sudah bersedia memberikan cabaran sengit," tambahnya.

   

Pelumba berusia 23 tahun berkenaan yang bakal pertama kali beraksi di Sukan Komanwel, sudah menyertai pelbagai kejohanan peringkat tertinggi selain menjalani latihan bersama Beasley dan Azizulhasni di Melbourne.

   

Atlet kelahiran Johor ini dijadual menyertai acara keirin dan pecut individu di Gold Coast.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 10:42pm
d