arena

Mourinho sedih Ibra tinggakan United

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho menyifatkan pemergian Zlatan Ibrahimovic dari Manchester United (MU) adalah saat duka bola sepak Eropah.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu berhijrah ke LA Galaxy di Major League Soccer minggu lalu selepas MU bersetuju membatalkan kontraknya tiga bulan lebih awal.

Ibrahimovic meledak 28 gol pada musim pertama di Old Trafford, namun bergelut mencapai prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika suku akhir Liga Europa menentang Anderlecht pada April tahun lalu.

Penyerang Sweden berusia 36 tahun itu hanya mampu menjaringkan satu gol untuk United apabila membuat penampilan kembali pada November, dengan aksi terakhir menentang Burnley pada Boxing Day.

“Bagi saya, ia sentiasa sedih apabila pemain berbakat meninggalkan kelab,” kata Mourinho pada sidang media sebentar tadi.

“Sebagai contoh, Luis Figo selepas perlawanan terakhir di bawah kendalian saya dan bersama Inter Milan.

“Saya sentiasa mengingati ia sebagai saat paling sedih kerana saya sentiasa simpati apabila pemain ternama bersara atau memasuki tempoh akhir karier mereka.

“Zlatan adalah pemain utama bola sepak. Eropah akan merindui kehilangannya untuk selamanya kerana dia tidak akan kembali pada tahap ini.”

Bagaimana Mourinho menambah:“Tempoh beberapa tahun akan datang bersama LA Galaxy adalah bagus untuk dirinya dan bola sepak di Amerika Syarikat.”

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 12:39am
d