arena

Faizal lonjak motivasi Malaysia

Oleh Naqib Nor Said

HATRIK Faizal Saari memastikan Malaysia mendapat suntikan moral terbaik hari ini, menjelang aksi pembukaan Sukan Komanwel menentang England, pada Jumaat.

Jaringannya berjaya membantu skuad negara membenam pasukan New South Wales Institute of Sports (NSWIS) 5-2, pada aksi pemanas badan kedua di Pusat Hoki Gold Coast.

Keputusan itu sekali gus meneruskan aksi cemerlang skuad negara selepas turut mencatat kemenangan pada aksi pemanas badan pertama dengan menewaskan lawan sama 4-2, kelmarin.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Rahim dan Fitri Saari terus merekodkan gol dalam aksi kali ini, selepas turut cemerlang dalam aksi pertama.

Mengulas mengenainya, pengendali negara, Stephan Van Huizen mengakui secara keseluruhannya berpuas hati dengan persembahan anak buahnya itu.

"Secara keseluruhannya ia satu persembahan lebih baik berbanding aksi pertama bertemu NSWIS juga.

"Sentuhan pertama kami tidak begitu menjadi pada awal permainan yang mana kami lebih mendominasi aksi dan sepatutnya kami melakukannya lebih baik.

"Namun, saya lega kerana pemain begitu tajam apabila dua gol Faizal dan satu oleh Fitri dijaringkan menerusi gerakan serangan balas," katanya ketika dihubungi.

Skuad Malaysian Tigers seterusnya akan turun dalam aksi persahabatan ketiga bertemu pasukan nombor satu dunia, Australia pada Selasa ini, sebelum membuka kempen Kumpulan B Sukan Komanwel.

Selain England, skuad negara yang meletakkan sasaran untuk mara ke pentas separuh akhir kali ini perlu bersaing dengan India, Pakistan Wales untuk dua tempat terbaik kumpulan.

Bagaimanapun, tugas berat menanti pasukan ranking ke-12 dunia itu yang mahu menebus duka empat tahun lalu apabila sekadar menamatkan kempen di kedudukan ketujuh yang juga pencapaian kedua terburuk sepanjang sejarah penyertaan pasukan negara di Sukan Komanwel.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam temasya kedua terbesar dunia itu hadir sewaktu menjadi tuan rumah edisi 1998 dengan meraih pingat perak, diikuti 2006 (pingat gangsa), 2010 (kelapan) dan 2014 (ketujuh).

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 8:40pm
d