arena

'Semua EXCO sudah dapat penjelasan'

Oleh Syafiq Aznan

AHLI Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka menerima peletakan jawatan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam mesyuarat khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok .

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata keputusan sebulat suara itu dijangka dibuat kerana semua EXCO sudah mendapat penjelasan dari Tunku Ismail sendiri dalam satu pertemuan pada minggu lalu.

"Tunku Ismail sudah menyatakan hasratnya untuk berundur. Jadi kami perlu menghormati keputusannya walaupun dengan berat hati.

"Apapun, sebarang keputusan mengenai perkara ini akan diumumkan secara rasmi selepas selesai mesyuarat khas esok (Isnin) kerana beberapa agenda akan turut dibincangkan dalam mesyuarat sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Tunku Ismail yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM selepas genap setahun menerajui persatuan itu apabila menang tanpa bertanding pada Kongres FAM tahun lalu.

Beliau yang juga adalah pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) turut menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru yang berlangsung pada tarikh sama.

Mengulas lanjut mengenai beberapa agenda yang bakal dibincangkan, Yusoff menjelaskan mesyuarat terbabit akan turut akan membincangkan mengenai calon pemangku presiden yang akan menerajui FAM sehingga kongres seterusnya dan juga calon presiden baharu.

"Walaupun Tunku Ismail mencadangkan nama saya selaku pemangku presiden namun keputusan masih terletak di tangan EXCO. Mungkin mereka merasakan ada calon lain yang lebih baik untuk memikul tanggungjawab itu.

"Mesyuarat juga dijangka memilih calon untuk jawatan presiden pada kongres yang akan berlangsung Julai nanti. Semua EXCO memiliki kuasa untuk memilih kecuali Setiausaha Agung kerana beliau dilantik," katanya.

Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail membuat kejutan apabila mencadangkan nama Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya. 

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 1:07am
d