arena

Ibrahimovic hambur magis

Oleh Reuters

Carson, Amerika Syarikat: Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol pada penampilan pertamanya bersama LA Galaxy termasuk jaringan kemenangan pada minit ke-90 ketika pasukan barunya itu bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menewaskan LAFC 4-3, semalam.

Ibrahimovic yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-71, menghasilkan jaringan enam minit kemudian menerusi rembatan lencong jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol LAFC, Tyler Miller.

Penyerang Sweden itu melengkapkan kecemerlangannya menerusi tandukan pada minit ke-90 hasil hantaran Ashley Cole bagi membolehkan Galaxy tampil sebagai pemenang.

“Saya terdengar penyokong melaungkan ‘Kami mahu Zlatan, kami mahu Zlatan,” kata pemain berusia 36 tahun itu. “Justeru, saya berikan mereka Zlatan. Mereka mahu aksi sebenar saya dan saya berikan apa yang mereka tuntut.”

Aksi ‘El Traffico’ pertama itu dilihat berat sebelah apabila LAFC pantas memberi tekanan sejak wisel permulaan dan Galaxy yang kehilangan Romain Alessandrini, Jonathan dos Santos serta Giovani dos Santos hampir tenggelam.

Rembatan lencong Carlos Vela ke penjuru gawang Galaxy membolehkan LAFC mendahului pada minit kelima.

Bintang Mexico itu menghasilkan gol kedua 21 minit kemudian selepas memperdayakan penjaga gol Galaxy, David Bingham.

Gol sendiri pertahanan Galaxy, Daniel Steres pada minit ke-48 membolehkan LAFC mendahului 3-0.

Namun, Galaxy bangkit pada babak kedua menerusi Sebastian Lletget dan Chris Pontius sebelum Ibrahimovic mencuri tumpuan.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 9:22am
d