arena

TFC uji penyerang

Oleh Malik Muhamad

RISAU dengan ketumpulan jentera serangan pasukan, skuad Terengganu FC (TFC) menguji ketajaman jentera serangan menerusi perlawanan persahabatan bertemu pasukan MISC-MIFA dan UiTM pada minggu lalu.

Penolong jurulatih skuad Penyu itu, Mohamad Nik berkata, selain untuk memperkemaskan lagi jentera serangan, aksi persahabatan itu berjaya mengekalkan kecergasan dan menguatkan minda pemainnya menjelang aksi Liga Super bertemu Melaka United pada 13 April ini.

“Dua aksi terakhir bertemu JDT (Johor Darul Tazim) yang berkesudahan kita tewas 0-1 dan dengan Selangor dalam aksi Piala FA juga kita tewas 1-3 menunjukkan penyudah pasukan kita masih tumpul

“Sepatutnya kita boleh menang kerana mempunyai banyak peluang dan gerakan yang menarik untuk menghasilkan jaringan berbanding pasukan lawan, tapi masalahnya pemain kita gagal menterjemahkan peluang itu dengan jaringan.

“Tapi saya tidak menyalahkan jentera serangan 100 peratus kerana kita beraksi secara berpasukan, oleh sebab itu kita adakan perlawanan persahabatan ini untuk mengenal pasti kelemahan di semua posisi selain mengekalkan kecergasan sebelum meneruskan kempen liga bertemu Melaka nanti di laman lawan,” kata bekas penolong jurulatih FELDA United musim lalu.

Dalam aksi bertemu MISC-MIFA, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim tewas 1-2 sebelum bangkit dengan kemenangan 5-3 menumpaskan pasukan berstatus ‘unversiti’ UiTM di Stadium Mini UiTM Shah Alam.

TFC kini berada di tangga kelima carta liga selepas lima perlawanan dengan mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan dan dua kali seri serta tewas sekali.

Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun percaya barisan serangan yang diketuai penyerang dari Ivory Coast, Tchetche Kipre yang dibantu Mohd Ashari Samsuddin dan Abdul Malik Mat Ariff akan kembali bangkit dalam aksi seterusnya.

“Kita sudah terlepas Piala FA, oleh itu pemain harus berusaha keras dan bangkit dalam misi merebut peluang untuk mendakap trofi liga dan Piala Malaysia,” kata Mohamad.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 12:28pm
d