arena

Terima perletakan jawatan Tunku Ismail

Oleh Aziman Rosdi

TIADA drama dipentaskan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini apabila seperti dijangka, ahli Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat suara menerima peletakan jawatan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Keputusan menerusi Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM Bagi Penggal 2017-2021 itu turut menyaksikan, Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku Presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail sebelum ini.

Semua berjalan lancar meskipun pada awalnya ada juga kemungkinan wujudnya perebutan posisi itu antara Yusoff dan seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.

Yusoff, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) bakal memikul tugas selaku pemangku sehingga pemilihan baru pada Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden pada Kongres itu nanti selepas mendapat sokongan penuh daripada Exco FAM.

Mesyuarat Khas FAM kali ini mendapat tumpuan meluas selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan genap setahun beliau dilantik sebagai Presiden Badan induk itu pada 25 Mac lalu.

Biarpun tidak bersama FAM, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menerima pelantikan sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada hari yang sama peletakan jawatannya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 12:37pm
d