arena

Pelumba Malaysia tak bermaya

Oleh Haika Khazi

PELUMBA Malaysia gagal menyerlah di peringkat kedua perlumbaan Tour of Thailand (TOT) 2018 dari Chanthaburi ke Aranyarathet sejauh 173 kilometer (km) hari ini.

Catatan terbaik pelumba negara dilakukan Muhammad Ameer Ahmad yang menduduki tempat ke-12 diikuti Mohd Elmi Jumari (ke-20) manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh yang berjaya menaiki podium, semalam, menduduki tangga ke-31.

Perlumbaan hari ini dimenangi pelumba Jepun, Shotaro Iribe yang mewakili pasukan Shimano Racing Team dengan catatan 3 jam 55 minit 07 saat sekali gus membolehkan dia merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan.

Tempat kedua pula menjadi milik pelumba Colombia, Jorge Camilo Castiblanco diikuti wakil tuan rumah, Sarawut Sirironnachai yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa sama.

Bagi peringkat ke tiga dijangka lebih mencabar kerana bakal menyaksikan semua pelumba berkayuh sejauh 177km dari Aranyarathet sebelum melakukan pendakian dan menamatkan perlumbaan di Taman Negara Khao Yai.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 7:59am
d