arena

Masa rehat mantapkan pasukan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sedar dengan kedudukan skuad kendaliannya yang kini ketinggalan dalam saingan Liga Super, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, berusaha memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat bagi memantapkan kembali kekuatan pasukan itu.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, pihaknya perlu menggunakan ruang yang ada untuk mencari formula terbaik bagi memperkemaskan pasukan terutama dalam memperbaiki setiap kelemahan agar sebarang kekurangan itu tidak menjadi penghalang kepada hasrat bagi mendapatkan kemenangan.

Beliau akui pemain skuad Hobin Jang Hobin perlu sentiasa fokus kepada latihan dan usaha meningkatkan lagi prestasi supaya keputusan positif pada perlawanan akan datang dapat dicapai.

“Kita berusaha menggunakan sepenuhnya tempoh rehat ini (semalam) bagi memperkemaskan pasukan terutama dalam memperbaiki setiap kelemahan, supaya pasukan dapat mempamerkan aksi lebih kemas dan mantap sebaik saingan bersambung, 14 April ini.

“Saya menekankan betapa pemain perlu kekal fokus dan terus bekerja keras meningkatkan prestasi kerana saingan liga yang dilihat semakin mencabar memerlukan komitmen tinggi setiap pemain.

“Sebagai pasukan yang berada di bawah, Negeri Sembilan perlu bangkit mencipta kemenangan pada aksi akan datang supaya dapat terus bersaing dan meraih kedudukan terbaik dalam carta,” katanya di sini, semalam.

Negeri Sembilan yang kini mengutip tiga mata selepas mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan liga, bakal menanti kunjungan Kelantan, pada 14 April ini, manakala perlawanan terakhir pasukan itu ialah tewas 4-0 kepada Pahang, dalam aksi di Kuantan, 10 Mac lalu.

Bagi Azraai, cabaran skuad Rusa dalam misi memburu mata pada perlawanan akan datang bukan sesuatu yang mudah tetapi dengan keyakinan serta semangat tinggi setiap pemain, ianya boleh direalisasikan.

Justeru, beliau yang mengambil alih tugas itu daripada pengendali dari Jerman, Jorg Peter Steinebrunner mulai 1 Mac lalu, mengharapkan komitmen tinggi dari setiap pemain bagi mengubah senario terkini pasukan itu.

“Kami perlu capai kemenangan bagi mengubah kedudukan ketika ini dalam carta dan berharap corak serta persembahan pasukan berubah sebaik kembali meneruskan cabaran dalam liga bertemu Kelantan di tempat sendiri, 14 April nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 10:09am
d