arena

Ulangkaji terakhir Van Huizen

Oleh Naqib Nor Said

MALAYSIA tewas 2-0 kepada Australia dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast menyingkap tirainya esok.

Bagaimanapun, ada petanda positif daripada kekalahan itu apabila pasukan nombor satu dunia itu terus gagal berkenduri gol ke atas Malaysian Tigers selepas pertemuan di Piala Sultan Azlan Shah, Ipoh, Mac lalu berkesudahan Malaysia tewas 1-3.

Ia adalah peluang terakhir buat pengendali negara Stephen Van Huizen menguji dan memutuskan barisan pemain utamanya sebelum aksi sulung Kumpulan B bertemu England di Pusat Hoki Gold Coast, Jumaat ini.

Sebelum ini, pasukan yang menduduki ranking ke-12 dunia itu menang dalam dua aksi pemanas badan pertama masing-masing 4-2 dan 5-2 ke atas New South Wales Institute of Sports (NSWIS) pada Khamis dan Sabtu lalu.

Hoki yang dipertandingkan buat kali keenam di temasya kedua terbesar dunia itu menyaksikan penyertaan 10 pasukan dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama England, India, Pakistan dan Wales.

Kumpulan A pula terdiri daripada tuan rumah Australia yang juga pemenang lima kali berturut-turut, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Rekod terbaik Malaysia pada Sukan Komanwel adalah memenangi perak pada 1998 selepas tewas 0-4 kepada Australia pada aksi final.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 2:25pm
d