arena

UPM bakar semangat atlet

Oleh Jumiati Rosly

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) membakar semangat penuntut dan pegawainya yang terpilih menyertai Sukan Komanwel di Gold Coast apabila memberi insentif wang tunai RM1,000 seorang, hari ini.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, pemberian itu berbeza dengan sebelum ini apabila atlet yang mewakili negara hanya diraikan dan diberi insentif selepas pulang membawa kejayaan.

“Kali ini kita beri dahulu untuk memberi mereka lebih semangat dan membuktikan betapa pengurusan UPM bangga kerana mereka terpilih ke sana,” katanya selepas Majlis Meraikan Atlet UPM ke Sukan Komanwel, di sini hari ini.

Untuk rekod, seramai 55 atlet daripada keseluruhan 178 atlet negara yang terpilih ke temasya kedua terbesar dunia itu yang disingkap secara rasmi esok adalah atlet yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Daripada jumlah itu, 27 atlet adalah atlet UPM yang akan beraksi dalam sukan hoki lelaki, menembak, olahraga, ragbi 7 sebelah, hoki wanita, terjun dan seorang lagi pegawai UPM, Muhammad Azwar Bakar turut bertanding dalam sukan ping pong para.

Sementara itu, jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara pada majlis pembukaan berkata, insentif yang diberikan UPM itu adalah motivasi dan penyuntik semangat buatnya beraksi lebih baik.

“Buat masa ini saya perlu mengawal diri sendiri daripada terlalu teruja menjelang pertandingan nanti kerana ia memang tak bagus.

“Sekarang saya perlu fokus untuk diri sendiri, bertenang dan beri tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan nanti (pertandingan),” kata penuntut Ijazah Pendidikan Jasmani itu yang menangguhkan satu semester bagi memberi tumpuan di Gold Coast.

Ketika ditanya perasaannya menjelang majlis perasmian, Hakimi berkata: “Perasaan gementar itu pasti ada sedikit. Namun, benda ini (membawa Jalur Gemilang) adalah sesuatu yang boleh dibanggakan untuk diri sendiri dan pengiktirafan untuk saya. Saya akan buat yang terbaik di temasya nanti.”

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 3:44pm
d