arena

Sedia sekat trio Reds

Reuters

LONDON: Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan percaya mereka lebih bersedia untuk mengekang trio serangan Liverpool pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi Khamis ini.

Kekalahan 3-4 di tangan Liverpool Januari lalu satu-satunya kekalahan City kepada kelab Liga Perdana Inggeris musim ini.

Ia berpunca daripada tiga gol yang dijaringkan dalam tempoh sembilan minit pada babak kedua menerusi Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah dengan ketiga-tiganya secara keseluruhan sudah meledak 75 gol buat Liverpool musim ini.

“Satu penghormatan besar kerana ketiga-tiganya sudah menjaringkan begitu banyak gol dan mereka juga mencipta banyak peluang,” kata Gundogan kepada media British.

“Liverpool masih satu-satunya pasukan yang mampu menewaskan kami dalam Liga Perdana Inggeris. Tapi kami sedar kenapa ia terjadi, sekalipun persembahan kami agak baik pada hari itu.

“Jelas kembali ke Anfield bagi perlawanan pertama adalah motivasi yang hebat buat kami. Kami mahukan keputusan yang hebat pada aksi pertama dan mendominasi permainan pada perlawanan kedua, di depan peminat kami.

“Itulah yang kami mahu lakukan dan saya yakin kami akan mara ke peringkat seterusnya.”

Gundogan menghabiskan empat tahun bermain di bawah bimbingan bos Liverpool, Juergen Klopp ketika beraksi bersama Borussia Dortmund sebelum berpindah ke England.

Ia tempoh yang menyaksikan kelab Jerman itu menjuarai Bundesliga, Piala Jerman dan mara ke final Liga Juara-Juara pada 2013.

“Juergen pengurus yang amat bagus dan beliau mampu untuk memotivasikan pasukannya menjelang setiap perlawanan,” kata Gundogan.

“Beliau akan membuktikannya sekali lagi dengan Liverpool, jentera serangan mereka amat kuat. Jadi mereka bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan tapi kami juga sama.”

City boleh mengesahkan kejuaraan Liga Perdana dengan kemenangan ke atas musuh setempat, Manchester United Sabtu ini sebelum mengharungi aksi suku akhir kedua di Etihad, tiga hari kemudian.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 11:13pm
d