arena

McIlroy yakin lengkap Grand Slam

Oleh AFP

AUGUSTA, Amerika Syarikat: Rory McIlroy rasa lebih selesa dan yakin untuk memenangi gelaran Masters sekali gus melengkapkan Grand Slam kariernya selepas berlatih sebanyak lima pusingan di Augusta National.

Pemain 28 tahun dari Ireland Utara itu akan memulakan saingan Masters ke-10 dirinya esok untuk memburu gelaran major kelima dan jaket hijau Masters sulungnya selepas menang di Bay Hill bulan lalu.

“Saya lebih selesa. Permainan saya semakin baik dan saya cukup yakin dengannya,” kata McIlroy. “Saya rasa ini prestasi terbaik saya datang ke sini. Saya lebih bersedia berbanding sebelumnya dan tidak sabar untuk melakukan pukulan tee pertama.”

Kemenangan McIlroy akan meletakkannya sebaris dengan Jack Nicklaus, Tiger Woods, Ben Hogan, Gary Player dan Gene Sarazen yang mencatat grand slam dalam karier mereka - sekurang-kurangnya satu kemenangan dalam keempat-empat kejohanan major itu.

McIlroy di ranking ketujuh dunia, yang kali terakhir memenangi gelaran major di Kejuaraan PGA 2014, bagaimanapun sedar tiada istilah jaminan kemenangan dalam sukan ini, apatah lagi di kejohanan Masters.

“Saya tidak pernah datang ke sini dan merasakan sudah cukup bersedia, dan ini giliran saya. Kerana ia tidak pernah menjadi giliran anda. Anda perlu ke luar sana dan mendapatkannya. Dan saya di sini minggu ini untuk mengambil semuanya,” katanya.

McIlroy mempunyai purata catatan pusingan paling rendah dalam sejarah Masters, tetapi belum pernah memiliki jaket hijau.

Pada edisi 2011, dia memasuki pusingan terakhir dengan kelebihan empat pukulan tetapi melakukan pusingan 80 untuk menyaksikan gelaran itu terlucut daripada genggamannya - pengalaman yang membantunya memenangi gelaran major seterusnya - Terbuka Amerika Syarikat 2011.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 10:26am
d