arena

UiTM, FELDA uji Sabah

Oleh Ryan Stanley

KETUA jurulatih Sabah, Jelius Ating akui masih ada kelemahan perlu diperbaiki skuad kendaliannya, terutama bagi menghadapi dua perlawanan penting, minggu depan.

Walaupun menang 3-1 ke atas kelab yang beraksi di Liga Singapura, DPMM Brunei dalam aksi persahabatan kelmarin, Jelius masih belum berpuas hati dan berpendapat mereka perlu menggandakan usaha.

"Kita akan bertemu pasukan yang berada di kedudukan ketiga liga iaitu UiTM FC, seterusnya FELDA United yang kini berada di takhta liga, dua aksi ini saya anggap sangat penting dalam menentukan kedudukan kita selepas ini.

"Saya akui tempoh rehat yang panjang telah menjejaskan sedikit momentum, namun kita masih ada masa seminggu untuk mengatasi segala kelemahan seterusnya bersiap sedia sepenuhnya untuk menyambung saingan liga," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sabah yang kini di kedudukan kedua Liga Perdana akan bertemu UiTM FC di Stadium Likas, di sini, Selasa depan dengan perlawanan itu bakal menentukan kedudukan dua pasukan berkenaan kerana mereka kini berkongsi mata dan hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan serta bolos.

Pasukan yang turut popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kemudian akan bertemu FELDA United yang kini enam mata di hadapan mereka dengan perlawanan juga berlangsung di Stadium Likas.

Terdahulu, aksi bertemu DPMM Brunei di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, kelmarin, pemain simpanan, Justin Samaan muncul wira Sang Badak apabila meledak dua gol selain jaringan penyerang import, Hector Omar Ramos bagi mengesahkan kemenangan milik mereka.

"Walaupun bermula hambar di awal permainan, saya memuji kesungguhan pemain yang berjaya menukar rentak menjadi lebih meyakinkan pada  pertengahan babak pertama dan akhirnya kita menang perlawanan itu.

"Kita juga melihat beberapa perkara positif menerusi aksi persahabatan itu termasuk persembahan dipamerkan pemain simpanan, ini membuktikan mereka bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan," katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 11:30am
d