arena

'Faris rindu final'

Oleh Rodly Fadly

 

AURA final Piala FA 2015 kembali meresap ke dalam tubuh Faris Ramli menjelang pertemuan PKNS FC, Perak pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Walaupun sudah tiga tahun berlalu, kemenangan 3-1 Lions XII ke atas Kelantan pada final Piala FA 2015 itu kekal sebagai ‘tangkal semangat’ setiap kali Faris beraksi untuk PKNS dalam pertandingan itu musim ini.

“Saya sangat rindukan suasana final sebegitu apatah lagi kami menjuarainya. Lions XII bukan pasukan pilihan kerana ketika itu Kelantan merupakan kuasa bola sepak Malaysia.

“Tiada siapa memberi Lions XII harapan tapi kami berjaya mengubah ramalan. Lebih manis, saya turut menjaringkan satu gol,” ujar Faris mengimbas kembali malam gemilang yang dinikmatinya itu.

Faris menaruh harapan tinggi agar dapat mengulangi detik manis itu bersama PKNS musim ini namun sedar perlu terlebih dahulu berdepan tugas getir untuk melepasi halangan Perak yang mempunyai impian sama.

“Ia perlawanan yang sukar kerana Perak sebuah pasukan mantap dan makin meningkat. Sudah tentu kemenangan 2-0 kami ke atas mereka pada Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran lagi.

“Namun, saya yakin Datuk (K) Rajagobal sudah bersedia dengan beberapa muslihat untuk memerangkap lawan kami itu. Beliau memang terkenal sebagai jurulatih yang memiliki pelbagai formasi dalam poketnya.

Begitu pun Faris berharap dia tidak menjadi korban peraturan Piala FA musim ini yang hanya membenarkan empat pemain import sahaja disenaraikan dalam setiap perlawanan.

“Saya harap walau apa pun formasi yang bakal digunakan jurulatih, nama saya tetap berada dalam senarai kerana saya tidak mahu terlepas walau satu pun perlawanan bersama PKNS musim ini apatah lagi untuk Piala FA.

“Setakat ini, saya bermain dalam kedua-dua perlawanan Piala FA ketika menentang Hanelang (FC) dan Kelantan. Ketika itu Zac Anderson tidak bermain kerana cedera.

“Tapi, sekarang Zac sudah pulih menjadikan saingan untuk mengisi empat kuota import itu semakin sengit. Saya mahu bermain namun  akur jika jurulatih membuat keputusan sebaliknya kerana kejayaan pasukan lebih utama,” kata pemain Singapura itu.

Selain Zac, Faris perlu bersaing dengan Romel Morales, Jonathan Acosta dan Rafael Ramazotti untuk mengisi slot empat pemain import itu.

 

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 11:41am
d