arena

'Minta maaf nak...'

MARK Hughes memohon maaf kepada anak perempuannya kerana terpaksa menangguhkan rancangan untuk menyaksikan dia beraksi dalam acara hoki di Sukan Komanwel, kerana terpaksa menumpukan kepada Southampton dalam saingan Liga Perdana.

Xenna Hughes menyertai skuad hoki Wales di Gold Coast, Australia yang akan dibuka secara rasmi hari ini dan bapanya sudah merancang untuk terbang ke Australia menyaksikan pertandingan hoki di sana.

Namun, selepas seminggu dipecat Stoke City, pengendali berusia 54 tahun itu secara tiba-tiba kembali ke kancah bola sepak dengan menyertai Southampton, yang berada dalam situasi hampir sama dengan Stoke - bergelut di zon penyingkiran.

“Secara jujurnya, saya tidak patut menerima tawaran (pengurusan bola sepak)... mungkin sehingga musim depan. Saya ada banyak perancangan yang perlu diselesaikan,” kata Hugges, bekas bos Wales dan penyerang Manchester United kepada BBC.

“Saya sepatutnya berada di Australia kerana anak perempuan saya beraksi di Sukan Komanwel untuk Wales. Itu rancangan besar saya, saya fikir...saya mampu melakukannya, jadi saya bersetuju kerana inilah peluang untuk pergi ke sana.

“Namun, lihatlah apa yang terjadi. Saya minta maaf kepada anak saya,”

Hughes kini berdepan cabaran getir untuk memastikan Southampton kekal dalam liga utama di England dan di bawah kendaliannya, skuad itu menang 3-0 ke atas satu lagi pasukan bergelut, West Ham United. - AFP

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 12:35pm
d