arena

'Raba' atlet cemari Komanwel 2018

Oleh AFP

GOLD COAST: Sukan Komanwel dicemari kes serangan seksual hari ini dengan pihak polis menyiasat dakwaan atlet Mauritius yang dikatakan diraba oleh pegawai pasukan.

Hanya beberapa jam sebelum majlis pembukaan, polis Australia berkata, mereka sudah melancarkan siasatan selepas menerima laporan itu semalam.

Media Mauritius berkata, chef de mission, Kaysee Teeroovengadum didakwa melakukan kesalahan itu dan dilepaskan daripada tugasnya, tetapi masih kekal di Gold Coast.

”Polis Queensland sedang menyiasat laporan berhubung dakwaan serangan membabitkan atlet dan pegawai daripada pasukan Mauritius,”kata Timbalan Pesuruhjaya Steve Gollschewski.

“Siasatan jenayah ini sedang berjalan. Kami memberikannya keutamaan dan berharap dapat menyelesaikannya dalam beberapa hari lagi.”

Ribuan atlet dan pegawai membanjiri Gold Coast untuk temasya empat tahun sekali itu, dengan 6,660 akan tinggal di perkampungan sukan.

Ketua Eksekutif Sukan Komanwel, David Grevemberg berkata, beliau amat prihatin dengan situasi berkenaan, yang sebelum ini menyaksikan hukuman penjara 175 tahun dikenakan ke atas jurulatih gimnastik Amerika Syarikat, Larry Nassar Januari lalu atas dakwaan hampir sama.

“Tidak ada timbang rasa untuk kelakuan buruk atau ganas. Tiada tempat untuk itu di Sukan Komanwel,” kata Grevemberg.

Tiada ulasan daripada pasukan Mauritus yang dibarisi 50 atlet berkenaan dakwaan berkenaan.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 2:37pm
d