arena

'Baton tak akan jatuh lagi'

Oleh Jumiati Rosly

SEBAGAI seorang pelari kuartet, terjatuh baton ketika pertukaran baton adalah mimpi ngeri yang perlu dielakkan dan bagi Jonathan Nyepa, dia yakin perkara itu tidak akan berlaku lagi terutamanya ketika membuat penampilan sulung di temasya besar Sukan Komanwel di Gold Coast yang membuka tirainya hari ini. 

Pada saingan terakhir sebelum ke temasya di Gold Coast, kuartet 4x100m negara menyertai Kejohanan Olahraga All Comers Perak 2018 pada 25 Mac lalu, namun baton terlepas jatuh ketika pertukaran antara Jonathan selaku pelari kedua dan juga pelari ketiga, Badrul Hisyam Abdul Manap.

"Hari itu di Perak apa yang berlaku sebenarnya adalah baton itu tercicir. Ketika pertukaran baton kepada Barul, dia sudah mencapainya ketika itu namun terlepas.

"Bagi saya, perkara itu tak menjadi masalah lagi, hanya sedikit kesilapan teknikal. Ia bukanlah masalah komunikasi dan kami sudah ada cara mengatasinya," katanya yang berasal dari Belaga, Sarawak. 

Jonathan, 22, yang bertolak bersama skuad olahraga ke Gold Coast malam tadi berkata, isu pertukaran baton bukanlah perkara yang perlu dirisaukan lagi.

Kuartet negara akan menurunkan Nixson Kennedy sebagai pelari pertama, Jonathan pelari kedua, Badrul selaku pelari ketiga dan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan diberi tanggungjawab sebagai pelari keempat. 

Dengan barisan pelari muda, jurulatih Mohd Poad Md Kassim sebelum ini berkata, beliau mengharapkan gandingan ini dapat membaiki rekod kebangsaan yang dilakukan mereka pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2017, kuartet negara itu beraksi tanpa penyertaan Khairul Hafiz akibat kecederaan, namun berjaya membaiki rekod kebangsaan dengan mencatatkan 39.27 saat dan berada di kedudukan empat. 

"Tidak ada tekanan buat saya dan saya mahu mencari pengalaman dalam penyertaan pada temasya kedua terbesar dunia ini. Sekarang semua tak ada masalah dan kami dalam pasukan tahu tanggunggujawab masing-masing dan memberi sokongan sesama sendiri bagi melakukan yang terbaik," katanya.

Acara 4x100m bakal berlangsung pada 13 April ini di Carrara Stadium Track, Gold Coast.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 3:36pm
d