arena

CR7 tabik penyokong Juve

Oleh Reuters

TURIN: Cristiano Ronaldo berterima kasih kepada penyokong Juventus yang menepuk tangan susulan rembatan gunting menakjubkan yang dilakukannya ketika membantu Real Madrid membenam gergasi Itali itu, awal pagi tadi.

Penyerang berbisa itu turut menambah dia memang sudah lama berharap dapat melakukan jaringan sehebat itu.

“Jelas orang ramai bercakap mengenai gol kedua saya... ia gol yang menakjubkan, mungkin yang terbaik sepanjang karier saya,” katanya dalam rakaman video yang dipaparkan di beberapa laman web Sepanyol.

Real memperoleh kemenangan besar 3-0 ke atas Juventus pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara di laman lawan.

“Saya pernah menjaringkan gol bersama pasukan kebangsaan dengan rembatan gunting, di mana ia mengenai palang sebelum masuk, tetapi kali ini lebih baik,” kata penyerang Portugal itu.

“Saya sudah lama untuk menyumbat gol seperti itu tetapi ia bergantung kepada perlawanan juga. Kadangkala ia tidak berhasil, tetapi kamu perlu sentiasa mencuba. Saya cuba dan menjaringkan gol.”

Gol Ronaldo itu yang juga jaringan kedua Real berpunca daripada hantaran Dani Carvajal dan ia mendapat tepukan gemuruh penyokong tuan rumah.

“Ini satu masa yang terbaik,” katanya. “Untuk mendapat tepukan di stadium Juventus, tempat di mana ramai pemain hebat bermain, ia adalah masa yang menakjubkan untuk saya.

“Ia sesuatu yang kekal di hati kamu... Saya mahu berterima kasih kepada semua peminat Itali yang berada di stadium dan bertepuk tangan kepada saya.”

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 5:29pm
d