arena

Perjuangan Bayern belum tamat

Oleh Reuters

BERLIN: Bayern Munich memiliki kelebihan susulan kemenangan 2-1 ke atas Sevilla pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi di Sepanyol tetapi gergasi Jerman itu perlu meningkatkan prestasi jika berhasrat mara lebih jauh, kata jurulatih Jupp Heynckes.

Kelab Bavarians itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan berpunca kesilapan pada babak pertama dan Heynckes berkata kualiti yang dimiliki Sevilla bermakna mereka mampu memberi ancaman di Munich, minggu depan.

“Jika kami mahu menang Liga Juara-Juara, kami perlu meningkat,” kata Heynckes. “Saya perlu memberikan kata-kata perangsang pada separuh masa pertama kepada semua pemain.

“Sevilla membuktikan mengapa mereka berada di kelompok lapan terbaik pada separuh masa. Mereka mempunyai ramai pemain berbakat besar, dengan mentaliti dan semangat juang yang tinggi.”

Kemenangan di Sepanyol bermakna Heynckes, yang akan meninggalkan Bayern pada penghujung musim ini meneruskan rekod deretan 12 kemenangan berturut-turut.

Gergasi Jerman itu turut menang keempat-empat perlawanan di laman sendiri dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini dengan hanya melepaskan satu gol.

Pertahanan Bayern, Jerome Boateng, yang bertuah tidak memberikan penalti kepada lawan pada babak pertama berkata, pasukannya tidak boleh memandang remeh perlawanan kedua.

“Perlawanan belum tamat,” katanya. “Kami berharap untuk meningkat dan menambah kualiti pada perlawanan timbal balik supaya kami memperoleh kelebihan.”

Pemain sayap, Franck Ribery juga enggan mengakui Bayern memiliki kelebihan apabila beraksi di laman sendiri.

“Kami tidak seharusnya berfikir walaupun sejenak yang kami sudah berada di separuh akhir,” kata Ribery. 

“Sevilla bermain dengan amat baik dan sungguh penting kami memperoleh kemenangan di Sepanyol.

“Kami masih perlu beraksi dengan amat baik di laman sendiri. Kami perlu melakukan seperti yang kami lakukan pada babak kedua. Tetapi 2-1 masih bagus tetapi kami belum lagi mara.”

Bayern menjadi pasukan pertama mencatat kemenangan di Sevilla dan meneruskan deretan kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara kepada tujuh perlawanan berturut-turut.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 6:58pm
d