arena

Pemburuan emas pertama bermula

Oleh BERNAMA

ATLET angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad yang menggalas tugas berat selaku atlet pertama untuk menyumbang pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel 2018 sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi esok.

Atlet berusia 24 tahun yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini, akan memulakan angkatan dalam kategori 56kg lelaki di Carrara Sports and Leisure Centre.

Walaupun tanpa ditemani anggota keluarga di sini, dia mahu mencipta kelainan seterusnya menghadiahkan pingat emas kepada ibu bapanya yang berada di Rompin, Pahang.

“Sekiranya saya mampu mencipta kejayaan di sini, ia adalah sesuatu yang lebih bermakna buat saya, hadiah untuk diri sendiri,” katanya kepada Bernama, di sini.

Mengulas mengenai tekanan, Azroy Hazal Wafie mengakui wujud sedikit tekanan namun tidak mahu terlalu memikirkan keadaan itu yang boleh memberi kesan kepada prestasinya nanti.

Katanya, sebaik sahaja tiba di Gold Coast pada Isnin, beliau mahu melupakan segala tekanan dan meneruskan aksi dengan tenang.

Atlet dari Pahang itu antara prospek terbaik negara dalam sukan angkat berat selepas ketiadaan Hafifi Mansor yang digantung akibat doping.

Hafifi, yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dalam kategori 69kg, disahkan positif mengambil oxymetholone iaitu dadah perangsang yang dikatakan bertujuan untuk membina otot.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 8:08pm
d