arena

Nicol suntik semangat Sivasangari 

Oleh Ajitpal Singh dan Nur Hairulnizam Wahid

SESI latihan bersama juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David boleh memberikan juara skuasy Terbuka Malaysia, S Sivasangari motivasi tambahan yang diharapkan pada penampilan sulungnya di temasya Komanwel, esok.

Pemain nombor 42 dunia itu, yang mendapat bye pada pusingan pertama akan bertemu pemain Scotland, Alison Thomson di Studio Oxenford, di sini dengan pemenang berpeluang bertemu pilihan kedua dari New Zealand, Joelle King bagi merebut tempat ke suku akhir.

“Saya fikir saya sudah bersedia... Saya sudah menjalani latihan dan bermain menentang Nicol di gelanggang sejak saya tiba ke sini, jadi ia menjadi semakin baik untuk saya,” kata Sivasangari.

“Saya tidak selalunya berpeluang bermain dengan Nicol, jadi menjalani latihan dengannya adalah perkara yang baik sebelum kejohanan. 

“Bagaimanapun, gelanggang di sini agak sukar. Bola tidak melantun dengan begitu baik di atas gelanggang. Tetapi gelanggang bukan satu-satunya masalah... Kami terpaksa mengadaptasi dan meneruskan permainan saya.”

Berpandukan undian, pemain berusia 19 tahun itu berkata, dia tidak sabar untuk mengharungi perlawanan pertamanya menentang Alison yang menghuni ranking 72 dunia.

“Saya tidak pernah bermain menentangnya tetapi saya tahu dia pemain yang baik. Saya perlu menampilkan permainan terbaik untuk mendapatkan kemenangan dan layak ke peringkat seterusnya.

“Jika menang, saya akan bermain menentang Joelle. Nicol memberikan saya beberapa petua bagaimana bermain menentang Joelle, jadi kita akan lihat jika ia berhasil. Tetapi memenangi perlawanan esok adalah fokus utama saya.”

Nicol yang juga pilihan ketiga menegaskan semalam, dia tidak merasa sebarang tekanan menjelang aksi pembukaan.

Pemain nombor sembilan dunia itu yang turut mendapat bye pada pusingan pertama dijadual melawan pemain Malta, Colette Sultana atau Samantha Hennings dari Kepulauan Cayman di pusingan kedua.

Sebagai rekod, Nicol yang juga pemenang pingat emas dua kali Komanwel tidak memenangi sebarang kejohanan sejak Mac tahun lalu.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 8:09pm
d