arena

VAR 'pemusnah Inter'

MILAN: Satu jaringan kapten Inter Milan, Mauro Icardi dibatalkan selepas pengadil perlawanan merujuk sistem video bantuan pengadil (VAR) dan terlepas dua jaringan ketika terikat 0-0 menentang pasukan tetangga AC Milan dalam Serie A, di sini.

Sassuolo pula menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat perlawanan ketika mengikat Chievo 1-1 manakala Andrea Belotti menjaringkan hatrik membantu Torino menang 4-1 ke atas Crotone ketika kelab bergelut Benevento menewaskan Verona 3-0.

Icardi meledak gol yang dibatalkan itu pada minit ke-38 selepas mengatasi perangkap ofsaid benteng Milan dan gagal ditangkap penjaga golnya,  Gianluigi Donnarumma.

Pemain Inter meraikan gol berkenaan namun sejurus kemudian pengadil perlawanan yang merujuk tayangan VAR membatalkan gol berkenaan kerana kesalahan ofsaid.

Terdahulu, bintang kelahiran Argentina yang kini penjaring terbanyak Inter dengan 25 gol musim ini terlepas peluang jaringan pembukaan dari jarak enam meter.

Icardi, sekali lagi terlepas peluang pada minit terakhir perlawanan apabila cubaannya tersasar.

“Perkara sebegini memang boleh berlaku, ia sangat mengejutkan kerana kemenangan sangat penting,” kata pengurus Inter, Luciano Spalletti.

“Tetapi saya tetap gembira kerana Inter beraksi seperti sepatutnya dan mempamerkan aksi yang betul, ia perkara asas, keputusan adalah perkara lain.”

Inter kekal di tangga keempat dengan 59 mata dan slot ke Liga Juara-Juara musim depan terjamin manakala Milan di tangga keenam dengan 51 mata.

Perlawanan itu asalnya dijadualkan awal pagi semalam tetapi ditunda ke awal pagi tadi susulan kematian mengejut Kapten Fiorentina, Davide Astori di hotel penginapan pasukan. - AFP

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 8:57am
d