arena

PM ucap tahniah

Oleh Haika Khazi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengucapkan tahniah kepada Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, kerana kejayaannya menghadiahkan pingat emas pertama kepada kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018), pagi tadi.

Azroy merangkul pingat emas selepas berjaya memecah rekod Sukan Komanwel dengan angkatan 117 kilogram bagi acara snatch 56 kilogram, mengatasi rekod dilakukan Amirul Hamizan Ibrahim 116 kilogram pada edisi temasya di New Delhi 2010.

"Tahniah Mohd Azroy Hazalwafie, hebat atlet angkat berat #Negaraku yang raih pingat emas pertama #GC2018 untuk Malaysia ! #NegarakuKebanggaanku," kata Perdana Menteri menerusi laman Twitter rasminya sebentar tadi.

Atlet berasal dari Pahang berusia 24 tahun itu meraih pingat emas selepas aksi mendebarkan di Carrara Sports and Leisure Centre dalam acara angkat berat lelaki final snatch kategori 56kg.

Azroy Hazal Wafie yang pertama kali beraksi di Sukan Komanwel membuat angkatan seberat 117kg dalam acara snatch sekali gus memecahkan rekod 116kg berusia lapan tahun, milik Amirul Hamizan Ibrahim yang dilakukan pada edisi 2010 di New Delhi, India.

Bagi kategori clean & jerk, Azroy Hazal Wafie membuat angkatan seberat 144kg, seterusnya mengumpul angkatan keseluruhan 261kg untuk melayakkannya meraih emas.

Angkatan 261kg itu sekali gus memecahkan rekod kejohanan 260kg yang dilakukan oleh jurulatihnya Amirul Hamizan Ibrahim pada 2002 di Manchester, England.

Pingat diraih perak diraih oleh atlet India, Gururaja dengan angkatan 249kg manakala pingat gangsa pula menjadi milik Chaturanga Lakmal dari Sri Lanka dengan angkatan 248kg.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 1:26pm
d